Thursday, August 4, 2011

MOKHTAR DAHARI

UNGKIN kini nama Malaysia tidak lagi gah di arena bola sepak antarabangsa jika hendak dibandingkan pada era 70-an dahulu. Malaysia pernah dilabelkan sebagai pasukan Asia yang handal dan sentiasa memberikan saingan dalam setiap perlawanan.

Kebanyakan generasi muda sekarang tidak berpeluang menyaksikan aksi 'SuperMokh' di atas padang. Datuk Mokhtar Dahari atau 'SuperMokh' adalah lagenda pemain bola sepak kebangsaan Malaysia yang berasal dari Selangor.



Gelaran 'SuperMokh' yang diterimanya itu juga adalah kerana kehebatannya menjaringkan banyak gol sepanjang kariernya sebagai pemain bola sepak. Beliau juga telah mewakili Malaysia selama 13 tahun iaitu dari 1972 hingga 1985.

Mokhtar telah dilahirkan pada 13 November 1953 di Setapak, Kuala Lumpur, hasil perkahwinan Dahari Abeng dan Maimon Sadikin. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Jalan Kuantan (1960-1965) dan Victoria Institution (1966-1970).

Ketika beliau berusia 15 tahun, Mokhtar telah dihadiahkan sepasang but bola yang hanya berharga RM15 oleh ayahnya selepas menduduki Sijil Rendah Pelajaran (SRP) 1968 atau lebih tepat dipanggil LCE pada ketika itu.

Beliau amat menghargai pemberian itu sambil berkata: "Kasut but yang diberi oleh ayah saya hanya berharga RM15, tetapi ia amat bermakna dalam kerjaya bola sepak saya."

Dengan kasut itulah beliau menempa nama sebaris dengan wira-wira bola sepak negara sebelumnya seperti Datuk Ghani Minhat dan Arthur Koh.

Pada tahun 1971, Mokhtar telah mula mewakili pasukan Selangor dalam saingan Piala Burnley. Beliau juga pernah menyertai beberapa kelab bola sepak antaranya Kelab Sultan Sulaiman, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Talasco dan Kwong Yik Bank.

Beliau telah berkahwin dengan Tengku Zarina Tengku Ibrahim dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Mohamad Redza, Nur Azera dan Nur Arina. Salah seorang anaknya, Mohamad Redza, juga mengikuti jejak langkah ayahnya apabila pernah mewakili negeri Selangor.

Mokhtar merupakan pemain yang memiliki bakat semulajadi yang mengangkat imej Malaysia setaraf dengan jaguh bola sepak dunia. Paling ketara adalah dikancah Pestabola Merdeka yang menjadi gelanggang beliau mempamer taring dan kehebatannya menembusi gawang lawan.

Pada usia 23 tahun, Mokhtar yang lebih terkenal dengan jolokan 'SuperMokh' diiktiraf Majalah World Star Soccer sebagai penyerang terbaik Asia dan ketika itu jugalah dia dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 1976.

Kelebihan dimiliki 'SuperMokh' banyak dengan sepakan deras bak peluru menjadi elemen penting hinggakan tiga jari bekas penjaga gol negara, mendiang R. Arumugam, pernah patah ketika cuba menampannya. Malah penyerang ternama negara ini juga bijak dalam membaca gerakan lawan dan meloloskan diri dari kawalan pertahanan pihak lawan.

Mokhtar telah membuat penampilan di padang bola sebanyak 167 kaps (penampilan), menjaringkan 117 gol dalam saingan Piala Malaysia dan 125 gol antarabangsa. __________________

1 comments:

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.

Template by:

Free Blog Templates